Skip to main content

KURIKULUM TERSEDIA MASA HADAPAN

Model pembelajaran yang lentur dan organik bagi melahirkan graduan yang adaptif dan kalis masa hadapan seiring dengan cabaran abad ke-21

Disiplin Bertemu (Convergent Disciplines), Pelbagai Disiplin (Multidisciplinary), Antara Disiplin (Interdisciplinary), dan Merentas Disiplin (Transdisciplinary)

Disiplin konvergen menggabungkan sekurang-kurangnya dua daripada tiga bidang sistem siber-fizikal iaitu siber/digital, fizikal/kejuruteraan dan biologi, contohnya bidang mekatronik dan bioinformatik.

Program akademik pelbagai disiplin (multidisciplinary) mengembangkan bidang utama dengan menambahkan ilmu dari bidang lain.

Program akademik antara-disiplin (interdisciplinary) adalah gabungan ilmu dari dua atau lebih bidang berbeza dengan tanpa mengubah ilmu bidang-bidang tersebut.

Program akademik merentas disiplin (transdisciplinary) adalah interaksi sepenuhnya dua atau lebih disiplin dengan perspektif konteks penyelesaian masalah dunia sebenar. Ia adalah gabungan bidang ilmu merentas disiplin sehingga membentuk bidang ilmu baharu contohnya bidang Muzik + Psikologi + Sains Kesihatan Bersekutu.

FLEKSIBEL DAN BUKAN KONVENSIONAL

Struktur kurikulum fleksibel memberikan kelonggaran bagi mereka bentuk sendiri gabungan kursus-kursus major, minor dan elektif di luar bidang utama; Personalisation dan learner engagement;

Kandungan kurikulum boleh dikemas kini pada bila-bila masa dengan mengambil kira kandungan kontemporari mengikut disiplin masing-masing;

Pembelajaran boleh berlaku pada bila-bila masa/ di mana-mana/ dengan apa-apa cara (anytime/anywhere/anyhow);

Kolaborasi dengan pemegang taruh/ pihak berkepentingan; dan

Laluan pembelajaran fleksibel: kaedah kemasukan, peralihan, kemajuan dan keluar.

PENGLIBATAN INDUSTRI

Penglibatan industri dalam ekosistem pembelajaran merangkumi kolaborasi, konsultasi dan/atau pembangunan reka bentuk kurikulum, implimentasi dan pentaksiran melalui pendekatan work-based learning di mana pencapaian hasil pembelajaran terancang dalam persekitaran pekerjaan sebenar. Pendekatan ini mempertingkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan permintaan semasa industri.

GLOBAL

Kurikulum yang memberikan pendedahan kepada perspektif global dan isu-isu sejagat. Pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah melalui kolaboratif program (dual/double/joint dengan luar negara dan transnasional), pendekatan P&P global (Global Classroom) dan mobiliti pelajar. Ini akan mempertingkat pengiktirafan global, pengukuhan pemikiran global dan literasi antara budaya.

PEDAGOGI ABAD KE-21

Heutagogi dikenali sebagai pembelajaran yang ditentukan sendiri oleh pelajar. Pelajar mendapat panduan dan sumber pembelajaran daripada pensyarah tetapi mereka sendiri yang mengambil tanggungjawab dalam proses pembelajaran iaitu dengan menentukan apa yang perlu dipelajari dan bagaimana ia harus dipelajari.

Paragogi atau pembelajaran keserakanan adalah strategi pembelajaran yang melibatkan interaksi di kalangan pelajar secara kolaboratif.

Sibergogi adalah pembelajaran maya dalam talian secara segerak (synchronous) atau tak segerak (asynchronous) bagi memudah cara pembelajaran berpusatkan pelajar.

RUANG PEMBELAJARAN

Ruang pembelajaran meliputi ruang fizikal dan/atau maya yang membolehkan pelaksanaan pedagogi fleksibel berasaskan teknologi dalam ruang formal dan tidak formal yang kondusif.

PEMBELAJARAN INTENSIF BERASASKAN PENGALAMAN

Pembelajaran yang menyokong pelajar dalam mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.

PENTAKSIRAN PROFIL

Pentaksiran yang menganalisis profil pelajar yang boleh dikumpulkan melalui portfolio. Ia membantu pelajar menghargai dan menginterpretasi kompetensi mereka.

PENTAKSIRAN AUTENTIK/PRESTASI

Pentaksiran ini menilai kompetensi pelajar untuk mendemonstrasi pengetahuan dan kemahiran dalam persekitaran sebenar. Ia melibatkan pembentukan pengetahuan dan kemahiran, inkuiri berasaskan disiplin dan nilai pencapaian di luar konteks pengajian. Ia juga mengukur kebolehan pelajar dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.

PENTAKSIRAN KETERSENDIRIAN

Pentaksiran ketersendirian merupakan pentaksiran yang mengikut kesediaan pelajar untuk dinilai. Ianya dilaksanakan secara fleksibel dan adaptif dari aspek masa penilaian dan struktur soalan bagi mengukur hasil pencapaian pembelajaran.

PENTAKSIRAN BERINTEGRASI

Pentaksiran berintegrasi merupakan pendekatan pentaksiran yang bersifat merentas bidang dan/atau melibatkan industri.

PENTAKSIRAN BERASASKAN CABARAN

Jenis pentaksiran ini menekankan kolaborasi, kerjasama dan pertandingan antara kumpulan. Pengajar boleh mengadaptasinya ke dalam pentaksiran pembelajaran untuk menggalakkan persaingan antara pelajar.